Monday, November 17, 2008

Pertandingan boling Pesta Sukan Kementerian Kewangan 22 November


Sinar Harian | November 17, 2008 | Nazrol Jamaluddin

BANGI – Bank Simpanan Nasional (BSN) bakal menjadi tuan rumah bagi Pesta Sukan Kementerian Kewangan 2008 yang dijadualkan bermula pada 22 hingga 29 November ini.

Terdapat 11 acara sukan yang bakal dipertandingkan termasuk tenpin boling yang akan berlangsung di Ampang Superbowl, Kajang bermula 25 hingga 28 November.

Pertandingan yang dianjurkan dengan khidmat pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melibatkan penyertaan dari lapan agensi terlibat iaitu Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia (BNM), Perbendaharaan Malaysia (MOF) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) termasuk BSN.

Pengarah pertandingan boling, Tay Li Neo berkata, Kelab Tenpin Boling UKM diberikan tugas untuk mengendalikan acara berkenaan.

“Bagi acara tenpin boling, dua kategori akan dipertandingkan iaitu lelaki dan wanita di mana setiap agensi perlu menghantar 16 pemain yang terdiri daripada lapan lelaki dan lapan wanita.

“Kesemua pemain ini akan dibahagikan kepada dua pasukan iaitu pasukan A dan pasukan B,” katanya.

Menurutnya, format pertandingan boling kali ini adalah acara trio di mana setiap pasukan menghantar tiga pemain untuk setiap blok.

“Setiap pasukan akan bermain sebanyak lapan blok permainan dan pemain akan bermain sebanyak tiga permainan dalam setiap blok.

“Pasukan yang berjaya mengumpul jumlah jatuhan pin daripada 24 permainan akan diisytiharkan sebagai pemenang,” katanya.

No comments:

Post a Comment