Wednesday, October 29, 2008

Boling Tertutup UKM: Bekas presiden atasi presiden


Sinar Harian | Oktober 29, 2008 | Nazrol Jamaluddin

KAJANG – Pertandingan akhir Pertandingan Boling Tertutup Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyaksikan tempat pertama dan kedua dimenangi individu yang memimpin Kelab Tenpin Boling universiti tersebut.

Bekas presiden kelab, Nornikman Ag Kati muncul juara setelah menewaskan presiden kelab, Nurul Ain Hanzir, untuk memenangi RM500, manakala Ain pula membawa pulang RM300 setelah berakhirnya pusingan akhir pertandingan tersebut di Ampang Superbowl, Metro Kajang, 26 Oktober lalu.

Bermain menggunakan format step ladder, terdahulu Nikman menempatkan diri di tempat pertama Master Final dengan mengumpul jatuhan pin sebanyak 1,446 pin bagi lapan permainan, manakala Ain di tangga ketiga dengan catatan 1,417 jatuhan pin.

Pada peringkat step ladder pertama, Ain berjaya menewaskan dua peserta lain dengan catatan 180 pin untuk kembali bertemu Nikman yang menunggu di perlawanan akhir namun, beliau gagal untuk menewaskan Nikman.

Di step ladder kedua, menyaksikan Nikman melakukan catatan 187 jatuhan pin, manakala Ain sekadar melakukan catatan 159 jatuhan pin.

Sementara itu, pengarah projek, Muhd Syahrin Abd Rahaman gembira dengan kejayaan penganjuran pertandingan tersebut walaupun pelbagai halangan dihadapi.

“Walaupun berbagai halangan dihadapi, kejohanan ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya ditambah dengan peruntukan yang diterima dari Pusat Sukan UKM.

“Pertandingan ini terbuka kepada semua penuntut dan kakitangan universiti ini dianjurkan oleh Kelab Tenpin Boling dengan bantuan Pusat Sukan UKM dan ini terbahagi kepada dua bahagian,” katanya.

Tambahnya, pusingan yang pertama, iaitu MQ (Master Qualification) telah berlangsung selama dua minggu pada setiap Isnin hingga Khamis bermula pada 13 Oktober dan berakhir pada 23 Oktober lalu.

“16 pemain yang mencatatkan MQ tertinggi layak ke pusingan kedua iaitu final yang diadakan pada hari ini (25 Oktober),” katanya

No comments:

Post a Comment