Friday, October 10, 2008

Pertandingan boling untuk warga UKM


Sinar Harian | Oktober 10, 2008 | Nazrol Jamaluddin

BANGI - Selepas kejayaan penganjuran Pertandingan Trio Ramadan baru-baru ini, Kelab Tenpin Boling Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi menganjurkan pertandingan untuk semua warga universiti tersebut.

Menggunakan format Master Qualifying (MQ), Pertandingan Tertutup Tenpin Bowling UKM 2008 terbuka buat semua kakitangan dan pelajar UKM.

Presiden kelab berkenaan, Nurul Ain Hanzir berkata, kejohanan ini merupakan julung kalinya pertandingan format ini dianjurkan oleh Kelab Tenpin Boling UKM.

“Tujuan utama pertandingan ini dijalankan adalah untuk mengeratkan silaturahim di kalangan semua warga UKM di samping meningkatkan kemampuan bersaing antara pemain-pemain boling UKM.

“Setiap pemain yang mengambil bahagian boleh membuat MQ lebih daripada sekali. Setiap MQ adalah tiga permainan dan selepas membuat MQ, skor pemain akan dipaparkan dalam jadual,” katanya.

Menurut Nurul, setiap pemain yang ingin menyertai pertandingan ini boleh membuat bayaran pendaftaran sebanyak RM10 dan membuat pembayaran untuk yuran permainan.

“Yuran permainan untuk MQ pada 13 hingga 16 Oktober adalah sebanyak RM20 untuk pelajar dan RM25 bagi kakitangan manakala bagi mereka yang membuat MQ pada 21 hingga 23 Oktober adalah RM25 untuk pelajar dan RM30 bagi kakitangan.

“MQ akan dijalankan pada tarikh tersebut bermula jam 5.30 petang, 6.30 petang dan 7.30 petang dan 16 pemain yang mempunyai jumlah tertinggi dalam 1 MQ (3 permainan) akan layak ke pusingan Masters,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, juara akan ditentukan melalui pusingan Stepladder di mana selepas lapan permainan dijalankan, empat pemain di tangga teratas akan meneruskan perjuangan ke peringkat tersebut.

“Peserta yang menyertai pertandingan ini juga akan diberikan handicap mengikut kategori yang ditetapkan pihak penganjur,” katanya.

Pusingan Masters akan berlangsung pada 25 Oktober ini di Ampang Superbowl, Metro kajang bermula jam 9.30 pagi dan hadiah wang tunai melebihi RM1,000 menanti pemenang-pemenang di pusingan ini.

Mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh menghubungi Muhd Syahrin Ab. Rahaman di talian 012-9121226 untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment