Friday, September 19, 2008

Kelab Tenpin Boling UKM teruskan tradisi


Sinar Harian | September 19, 2008 | Nazrol Jamaluddin

BANGI - Kelab Tenpin Boling Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sentiasa aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan sukan berkenaan sama ada di peringkat universiti itu sendiri mahupun di peringkat universiti lain di Malaysia.

Ia yang mula ditubuhkan sejak sesi pengajian 2004/05 lalu, kelab itu kini tidak lagi menoleh ke belakang untuk terus merancakkan sukan boling terutamanya untuk pelajar UKM.

Presiden Kelab Tenpin Boling UKM sesi 2008/09, Nurul Ain Hanzir menjelaskan, kelab tersebut merancang pelbagai lagi program sepanjang sesi pengajian ini.

“Selepas kejayaan menganjurkan trio Ramadan baru-baru ini, selepas hari raya nanti kelab akan menganjurkan pertandingan secara liga.

“Pertandingan ini dijalankan bukan setakat untuk kelab ini sahaja, sebaliknya ia dianjurkan melibatkan lain-lain universiti terutama di sekitar Lembah Klang ini dan liga trios tenpin boling institusi pengajian tinggi seperti ini merupakan liga yang pertama kali dianjurkan oleh institusi pengajian tinggi awam,” katanya.

Tambahnya, liga ini terbuka untuk pelajar dan staf semua institusi pengajian tinggi di mana ia akan dijalankan di Ampang Superbowl Kajang, Metropoint Kajang.

Beliau berkata, untuk sesi kali ini, seramai kira-kira 100 penuntut dari semester satu telah mendaftarkan diri menjadi ahli termasuk juga penuntut semester lain yang terus mendaftar.

“Antara aktiviti utama yang dianjurkan adalah klinik boling di mana ahli kelab didedahkan dengan teknik-teknik asas bermain boling oleh mereka yang bertauliah dalam sukan ini.

“Tahun lalu, kita turut menjemput jurulatih di peringkat Asia untuk memberi pendedahan kepada ahli kelab mengenai berkaitan teknik-teknik permainan ini,” katanya.

Selain itu menjelaskan mengenai pencapaian kelab berkenaan katanya, antara pencapaian utama mereka pernah dianugerahkan kelab sukan terbaik.

“Kelab ini menerima Anugerah Kelab Sukan Terbaik UKM bagi sesi pengajian 2006/07 berdasarkan pencapaian dan aktiviti kelab di Malam Anugerah Sukan UKM.

“Selain itu, setiap kali aktiviti diadakan, sambutan yang diterima selalunya menggalakkan terutama apabila melibatkan lain-lain universiti yang turut mempunyai pemain-pemain boling kebangsaan,” katanya.

Jelasnya, kelab itu juga sentiasa mendapat sokongan dan bantuan daripada Pusat Sukan UKM untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan juga pertandingan dan dijadualkan Oktober ini akan diadakan pertandingan yang dijalankan dalam format MQ dan pertama kali format ini dilaksanakan oleh Kelab Tenpin Boling UKM.

No comments:

Post a Comment