Sunday, July 27, 2008

SUKEM 2008 - KEPUTUSAN


Pemenang Perseorangan Lelaki
Dari kiri: Nurul Hakimi (KTDI), Mohd Hafiz Ali (KUO), Nor Nikman (KAB)

Kejohanan Tenpin Bowling SUKEM telah berjaya dianjurkan dengan jayanya dengan kerjasama Pusat Sukan UKM, Kelab Tenpin Bowling UKM dan Ampang Superbowl @ Kajang.

Acara-acara yang dianjurkan selama 2 hari telah disertai oleh 13 kolej kediaman UKM.

Pada hari pertama (25 Julai), acara Perseorangan dan Bergu telah dilangsungkan. Kolej Ungku Omar yang diwakili oleh Mohd Hafiz Ali telah menjuarai acara Perseorangan Lelaki dengan jumlah jatuhan pin 733. Persorangan Wanita pula diungguli oleh Kolej Tun Syed Nasir, Nurul Hidayah.

Sebaik tamatnya acara perseorangan, acara bergu telah menyusuli dan pingat emas acara perseorangan wanita yang tercicir daripada genggaman Nurul Ain Hanzir daripada Kolej Ungku Omar menjadi motivasinya untuk bermain dengan bersungguh-sungguh dalam acara bergu. Berpasangan dengan Nurul Hayati, pemenang Pingat Gangsa Perseorangan Wanita, Ain dan Hayati berjaya mendapat jumlah jatuhan pin 1211 untuk menggondol pingat emas. Pingat perak dimenangi oleh pasangan Noor Diran dan Zayani Zulkifli daripada Kolej Rahim Kajai manakala Pingat Gangsa milik Rozanna Rosdin dan Sabarina Baharom daripada Kolej Aminuddin Baki.


Pemenang Bergu Lelaki
Dari kiri: Hafiz Ali & Azimi (KUO), Nikman & Ian (KAB), Iskandar & Fadhil (KBH)

Situasi yang sama menyelubungi kategori lelaki apabila Nornikman, pemenang pingat perak acara Perseorangan Lelaki telah berpasangan dengan Ian Tay untuk memenangi pingat Emas dalam acara bergu lelaki. Kata Nornikman "Saya kecewa dengan persembahan saya sewaktu perseorangan apabila hanya kalah 39 pin kepada Hafiz. Saya telah bertekad untuk mendapat emas dalam acara seterusnya dan alhamdulillah, saya berjaya lakukannya dengan bantuan Ian."


Pemenang Berpasukan Wanita
Kolej Keris Mas (Oren), Kolej Tun Dr. Ismail (Merah), Kolej Ungku Omar (Ungu)

Hari seterusnya (26 Julai) menyaksikan acara berpasukan lelaki dan wanita dilangsungkan. Acara berpasukan adalah acara yang paling seronok kerana suasana pertandingan akan menjadi sangat bertenaga dengan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh setiap pasukan. Pasukan Kolej Aminuddin Baki dan Kolej Tun Syed Nasir telah berjaya menumpaskan pasukan-pasukan lain dalam kategori lelaki dan wanita. Kolej Aminuddin Baki yang dibarisi oleh Nor Nikman, Ian Tay, Muaz Ghazali dan Mohd Nazmi mengumpul 1848 pin, meningggalkan Kolej Keris Mas sebanyak 169 pin dan Kolej Rahim Kajai sebanyak 179 pin. Walaubagaimanapun, pemain-pemain Kolej Keris Mas dan Kolej Rahim Kajai apabila diumumkan sebagai pemenang pingat, melonjak kegembiraan kerana tidak menyangka berada di dalam senarai pemenang pingat.

Pasukan Kolej Tun Syed Nasir Wanita yang dianggotai oleh Nurul Hidayah, Emma Nazlin, Nadia Najwa dan Siti Norhaliz telah berjaya memenangi pingat emas dengan hanya kelebihan 23 pin daripada Kolej Ungku Omar. Hidayah yang telah memenangi pingat emas dalam acara perseorangan wanita merupakan tunggak kejayaan pasukannya apabila berjaya mengumpul 501 jatuhan pin. Kolej Keris Mas mendapat pingat gangsa.


Pemenang All Events Wanita
Dari kiri: Nur Hidayah (KTSN), Nurul Ain (KUO), Noor Diran (KRK)

Setelah tamat acara berpasukan maka, pemenang-pemenang All-Events diketahui dan Mohd Mohd Hafiz Ali yang mengutip Emas dalam acara Perseorangan Lelaki dan Perak dalam acara Bergu berjaya mendapat gelaran Juara All-Events. Acara All-Events ini adalah satu acara yang menguji prestasi permainan pemain apabila mereka perlu mengumpul skor yang baik daripada 3 acara; Perseorangan, Bergu dan Berpasukan. Juara All-Events Wanita pula dimenangi oleh Nurul Ain. Ini menambahkan kutipan pingatnya kepada 2 Emas, 2 Perak.


Pemenang Masters Lelaki
Dari kiri: Mohd Hafiz Ali (KUO), Nurul Hakimi (KTDI), Ian Tay (KAB)

Daripada acara All-Events, 12 pemain terbaik telah layak ke acara Masters. Kolej Tun Dr. Ismail dan Kolej Rahim Kajai berjaya merasai pingat emas pertama dan terakhir mereka apabila Nurul Hakimi dan Noor Diran menunjukkan prestasi permainan yang sangat baik untuk muncul sebagai pemenang pingat Emas acara Masters. Nurul Hakimi yang baru mula bermain boling pada tahun lepas amat berpuas hati dengan persembahannya dan tidak menyangka akan mendapat emas.

Pemenang pingat Emas wanita Noor Diran telah berkata, "Akhirnya, saya dapat juga Emas. YAHOO! Saya gagal untuk mempamerkan permainan yang baik dalam acara perseorangan, bergu dan pasukan. Pingat ini telah menebus kekecewaan saya.".

Juara keseluruhan tenpin bowling dirangkul oleh Kolej Ungku Omar dengan pungutan pingat 4 emas, 3 perak dan 2 gangsa.

Keputusan boleh dimuaturun daripada kotak "Muaturun" di sebelah kanan.

No comments:

Post a Comment