Tuesday, July 29, 2008

Kolej Ungku Omar juara keseluruhan boling Sukem


Sinar Harian | Julai 29, 2008 | Nazrol Jamaluddin

KAJANG – Kolej Ungku Omar muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (Sukem 2008) bagi sukan Tenpin Bowling yang diadakan di Ampang Superbowl, Metro Point, Kajang pada 25 dan 26 Julai lalu apabila berjaya memenangi empat pingat emas daripada 10 pingat emas yang dipertandingkan.

Kolej Ungku Omar memenangi emas melalui Mohd Hafiz Ali yang memenangi acara Perseorangan Lelaki dan All-Events Lelaki, Nurul Ain Hanzir yang memenangi All-Events Wanita dan gandingannya dengan Nurul Hayati Ismail dalam acara Bergu Wanita.

Lain-lain keputusan menyaksikan pasangan Nornikman Ag Kati dan Ian Tay Yee Ren dari Kolej Aminuddin Baki memenangi acara bergu lelaki setelah kedua-duanya gagal dalam acara perseorangan lelaki.

Sementara itu, pasukan Kolej Aminuddin Baki berjaya menumpaskan pasukan-pasukan lain dalam kategori berpasukan lelaki apabila mencatatkan 1848 jatuhan pin menewaskan pasukan Kolej Keris Mas sebanyak 169 jatuhan pin .

Kolej Tun Syed Nasir pula mengungguli kategori berpasukan wanita dengan hanya kelebihan 23 pin ke atas pasukan Kolej Ungku Omar apabila mencatatkan 1524 jatuhan pin.

Kolej Tun Dr Ismail dan Kolej Rahim Kajai berjaya memenangi emas pertama dan terakhir mereka apabila Nurul Hakimi Najmudin dan Noor Diran Ahmad menunjukkan prestasi permainan yang sangat baik untuk muncul sebagai pemenang pingat emas acara Masters lelaki dan wanita.

Nurul Hakimi yang mula bermain boling tahun lepas menjelaskan amat berpuas hati dengan persembahannya dan tidak menyangka akan mendapat emas.

Pemenang Emas Masters Wanita, Noor Diran nyata gembira dengan kemenangannya dalam acara tersebut.

"Akhirnya, saya dapat juga pingat emas setelah gagal untuk mempamerkan permainan yang baik dalam acara perseorangan, bergu dan berpasukan. Pingat ini telah menebus kekecewaan saya,” katanya.

Kejohanan yang merupakan acara tahunan pada setiap semester 1 sesi pengajian ini melibatkan penyertaan 13 kolej kediaman iaitu Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Dato Onn, Kolej Rahim Kajai, Kolej Burhanuddin Helmi, Kolej Ungku Omar, Kolej Ibrahim Yaacob, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej Idris Al Marbawi, Kolej Keris Mas, Kolej Ibu Zain, Kolej Pendeta Zaa'ba, Kolej Aminuddin Baki dan Kolej Tun Syed Nasir.

Setiap kolej telah menghantar penyertaan empat pemain lelaki dan empat wanita kecuali Kolej Burhanuddin Helmi yang hanya menghantar peserta lelaki.

No comments:

Post a Comment